Skip to main content

Malaysia

Buruh dipenjara empat tahun, denda RM6,000 kerana menculik dan curi kereta

PASIR MAS, 5 Julai -- Buruh Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menculik seorang lelaki dan mencuri sebuah kereta di Tendong pada bulan lepas.  Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Syamsul Azroy selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mohamad Syamsul Azroy dijatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 atas dua pertuduhan menculik seorang lelaki dan mencuri sebuah kereta di Tendong. - Foto Bernama
Advertisement

PASIR MAS: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 terhadap seorang buruh selepas mengaku bersalah menculik seorang lelaki serta mencuri kereta di Tendong, bulan lepas.

Hakim Zulkpli Abdullah juga memerintahkan Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, dipenjara selama enam bulan jika gagal membayar denda, selain hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 16 Jun. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bersama-sama tiga lagi yang masih bebas, menculik mangsa yang berusia 35 tahun dengan niat mengurungnya secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Tendong di sini pada 3.30 petang 6 Jun.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Syamsul Azroy bersama-sama tiga individu itu didakwa mencuri sebuah kereta Volkswagen milik lelaki berusia 25 tahun, iaitu adik kepada mangsa culik di lokasi dan pada masa serta tarikh yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Na'ilah Harizan manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.

Menurut fakta kes, mangsa diculik pada 6 Jun selepas didatangi empat individu termasuk Mohamad Syamsul Azroy yang mencari adiknya kerana tidak membayar hutang.

Mangsa dibawa ke sempadan dengan menggunakan laluan haram sebelum diselamatkan polis Thailand pada keesokan harinya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement