KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard menggesa siasatan dijalankan berhubung dakwaan kes rasuah rancangan tebatan banjir bernilai lebih RM16 bilion.

Menurutnya, difahamkan syarikat guaman di Klang dan Batang Kali, Selangor juga terlibat dalam perjanjian projek tebatan banjir ini.

"Kami menyerahkan kepada pihak polis bagi menyiasat senarai panjang syarikat guaman yang terlibat.

"Senarai komisen syarikat yang memperoleh projek dikehendaki bayar setinggi lapan peratus di mana wang dimasukkan dari syarikat kepada akaun peguam sebelum diberi kepada individu atau syarikat yang menjadi proksi," katanya dalam sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, jika disiasat pasti akan terbongkar kerana jelas projek bernilai ratusan hingga bilion ringgit antara proksi yang membuat perjanjian agar dibayar 'fi perunding cara' kepada seorang individu yang menerima puluhan juta ringgit.



Dakwa Che'gu Bard, individu ini ialah seorang pemandu di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

"Kita akan serah bukti dokumen kepada pihak polis.

"Pihak polis diminta siasat perkara ini. Bagi kes tebatan ini, hampir RM1 bilion daripada RM16 bilion kebocoran dikesan di mana ia sangat kritikal, rasuah bukan sahaja membiak tapi seolah halal," ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian