KUALA LUMPUR: Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini berkaitan hantaran mengenai pengoperasian kasino di Forest City pada Sabtu.

Peguambela dan peguamcaranya, Rafique Rashid berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


"Che'gu Bard kini ditahan di IPD Dang Wangi. Tangkapan terkait dengan hantaran dalam Facebook beliau berkaitan dengan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.


"Jam 8.45 pagi permohonan reman akan didengar di IPD Dang Wangi," katanya.

Menerusi hantaran Che'gu Bard di Facebook, beliau menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.

- Sinar Harian