KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 12,541 kes baharu positif COVID-19 direkodkan pada Jumaat.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 893,323 setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, negeri Selangor terus mencatatkan kes tertinggi harian iaitu 5,512 kes diikuti Negeri Sembilan sebanyak 1,619 kes.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula mencatatkan sebanyak 1,542 kes, diikuti Johor (609), Melaka (575), Kedah (458), Sarawak (423), Pahang (382) dan Pulau Pinang (376) kes.

Manakala negeri yang mencatatkan kes kurang daripada 300 kes iaitu Perak (299), Kelantan (225), Terengganu (102), Wilayah Persekutuan Putrajaya (62), Wilayah Persekutuan Labuan (24) dan Perlis hanya mencatatkan tujuh kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 6,742 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 772,542 kes sembuh bersamaan 86.5 peratus.

Bagaimanapun, sebanyak 115 kes kematian baharu dicatatkan menjadikan jumlah kes kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 6,728 kes ketika ini.

"53 kes di Selangor, 24 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing tujuh kes di Johor dan Melaka, lima kes di Pulau Pinang, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Kedah.

"Manakala masing-masing tiga kes di Sabah dan Perak, masing-masing dua kes di Kelantan dan Terengganu, serta satu kes di Wilayah Persekutuan Labuan," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat. 

Dalam pada itu, sebanyak 896 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 459 kes daripada jumlah itu memerlukan alat bantuan pernafasan.

BACA: COVID-19: Hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan 12,541 kes libatkan kategori 4, 5 - KP Kesihatan

Sementara itu Dr Noor Hisham turut memaklumkan hanya 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, diklasifikasikan sebagai kategori empat dan lima.

Daripada keseluruhan 12,541 kes, hanya 49 kes dalam kategori empat, dan 54 kes dalam kategori lima.