KUALA LUMPUR: Sebanyak 19,268 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Isnin, menurun berbanding 20,579 kes yang direkodkan semalam dengan lima negeri mencatatkan angka melebihi 2,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan berkata, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,725,357.

Dalam perkembangan sama,  beliau berkata, sebanyak 295 kematian direkodkan pada Isnin, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia kini ialah 16,382 kematian.

Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,033 dengan 476 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selain itu, kes sembuh pula merekodkan angka memberangsangkan dengan 21,257 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih ialah 1,443,262, tambah Dr Noor Hisham. 


Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,567 kes diikuti Sabah (2,310), Johor (2,265), Kedah (2,084), Sarawak (2,028), Pulau Pinang (1,780), Kelantan (1,308) dan Perak (1,144).

Sementara Perlis dan Putrajaya merekodkan kes baharu dua angka iaitu masing-masing 71 kes dan 41 kes manakala Labuan, hanya dua kes baharu dicatatkan pada Isnin.