KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat 6,976 kes baharu COVID-19, pada Ahad iaitu yang tertinggi sejak negara dilanda wabak itu Februari tahun lalu.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di negara ini mencecah 512,091 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor kekal mencatat bilangan jangkitan baharu tertinggi dengan 2,235 kes atau 32 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 


Ia diikuti Sarawak sebanyak 663 kes baharu, Kelantan (626) dan Johor (549).

"Sebanyak 49 individu disahkan meninggal dunia (akibat COVID-19) dengan 48 daripada mereka adalah rakyat tempatan. Ia menjadikan sejumlah 2,248 individu atau 0.44 peratus meninggal dunia setakat ini di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada 49 kes kematian, 14 kes dilaporkan di Selangor, diikuti Johor (lapan) selain masing-masing enam  kes di Pulau Pinang dan Melaka.

Selain itu, Kedah merekodkan empat kes, Sarawak (tiga), masing-masing dua  kes di Sabah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Perlis.

"Mereka yang meninggal dunia berusia 25 tahun hingga 93 tahun," katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat 57,020 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

Selain itu, katanya 681 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 361 orang memerlukan bantuan pernafasan. 

Beliau turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini, terdapat 3,587 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya sebanyak 452,821 atau 88.4 peratus.