Jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini mengatasi kes yang telah pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 60 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,185 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada 60 kes baharu yang dilaporkan, 7 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam kes di sebuah kluster baru di DTI Sepang," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Jelasnya, 33 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah
pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,945 kes (82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," tambahnya.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.