KUALA LUMPUR:Sarawak hari ini mencatat pertambahan 83 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes negeri itu meningkat kepada 6,273 kes.

Sibu kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 44 kes diikuti Miri (sembilan), Bintulu (tujuh), Beluru, Kapit dan Selangau (lima), Julau (empat), Samarahan (dua) manakala Lundu dan Meradong (satu).

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dua lagi kematian masing-masing di Hospital Sibu dan Hospital Bintulu direkodkan menjadikan jumlah kes kematian kepada 58.

“Kes ke-57 merupakan kes 5,269 berusia 66 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu kerana kesukaran bernafas dan disahkan positif COVID-19 pada 4 Februari dan meninggal dunia pada 11 Februari 2021.

“Manakala kes kematian ke-58 melibatkan kes 5,978 berusia 79 tahun dimasukkan ke Hospital Bintulu juga kerana kesukaran bernafas dan disahkan positif COVID-19 pada 9 Februari dan meninggal dunia pada 12 Februari 2021,” kata kenyataan itu.

Kedua-dua kes kematian juga dilapor mempunyai ko-morbid darah tinggi, kencing manis dan dislipedimia.

Selain itu, daerah Julau kini dikategorikan sebagai zon merah selepas merekodkan 42 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Manakala daerah Selangau pula kembali dikategorikan zon kuning selepas hanya merekodkan 20 kes jangkitan tempatan dalam tempoh sama.

Secara keseluruhan, 11 daerah masih dikategorikan sebagai zon merah, tiga daerah zon jingga, 15 daerah zon kuning serta 11 daerah zon hijau.