KUALA LUMPUR: Sebanyak 98.3 peratus atau 18,239 daripada 18,547 kes COVID-19 baharu yang direkodkan pada Selasa merupakan pesakit kategori satu dan dua.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, sebanyak 66.8 peratus tidak pernah menerima vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.

"Daripada pecahan itu, sebanyak 8,088 bersamaan 44.4 peratus tidak pernah divaksinasi, manakala 4,088 bersamaan 22.4 peratus tidak lengkap divaksinasi.

"Hanya 33.2 peratus sudah lengkap menerima dua dos vaksin," katanya pada Selasa.

Jelas Dr Noor Hisham, seramai 308 pesakit adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.

Katanya, sebanyak 77.6 peratus daripada mereka tidak pernah menerima vaksin atau tidak lengkap vaksinasi.

"Daripada pecahan itu, 168 pesakit bersamaan 54.5 peratus tidak pernah divaksinasi, 71 bersamaan 23.1 peratus pula tidak lengkap divaksinasi dan hanya 22.4 peratus sudah lengkap divaksinasi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 39 kluster baharu direkodkan pada Selasa, menjadikan jumlah kluster aktif ketika ini meningkat kepada 1,465 kluster.

Johor mencatatkan kluster tertinggi iaitu sembilan kluster, diikuti Pahang dan Sarawak masing-masing lima kluster baharu.

Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang pula masing-masing merekodkan empat kluster baharu.

Dua kluster baharu turut direkodkan di Melaka, diikuti Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur masing-masing satu kluster.

Daripada jumlah kluster tersebut, jelasnya sebanyak 23 kluster tempat kerja, 13 komuniti dan masing masing satu kluster Pusat Tahanan, Kumpulan Berisiko Tinggi dan Pendidikan.

Sehingga kini, 3,495 kluster telah tamat manakala jumlah keseluruhan kluster direkodkan di negara ini sebanyak 4,960 kluster