KUALA LUMPUR :Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan enam kluster baharu pada Jumaat membabitkan beberapa negeri.

Satu kluster baharu dikesan di Selangor membabitkan Kluster Tapak Bina Lebuh di Sepang di mana 20 kes positif telah dikesan daripada 285 individu yang disaring.

Di Sabah, KKM merekodkan satu lagi kluster iaitu Kluster Sugud di dua daerah di Penampang dan Papar membabitkan 26 kes positif dari sejumlah 163 yang disaring.

Kluster Tapak Bina juga dikesan membabitkan daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur selepas ujian saringan yang dijalankan ke atas 245 individu dengan 11 daripadanya didapati positif.

BACA: COVID-19: 1,683 kes baharu, tiada kes kematian dicatat

Seremban, Negeri Sembilan juga mencatatkan kluster baharu apabila 21 kes positif direkodkan daripada 60 ujian saringan yang di jalankan.

Ia bermula dengan kes positif yang dilaporkan pada 14 Disember lalu yang dinamakan sebagai Kluster Persiaran Heights.

Dalam pada itu, dua kluster baharu dicatatkan di Johor iaitu Kluster Tembok Gajah dan Kluster Utama Rini.

Kluster Tembok Gajah melibatkan 13 kes positif yang direkodkan di daerah Kluang selepas 52 ujian saringan yang dijalankan.

Sementara Kluster Utama Rini pula membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Pontian dengan merekodkan 22 kes positif dari seratus ujian saringan yang dijalankan.