KUALA LUMPUR:Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih belum menerima sebarang dokumen daripada Pfizer Inc untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin tersebut sebagaimana yang dilaporkan.

Bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin COVID-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab NPRA, KKM untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftarkan untuk dipasarkan di Malaysia, ia perlu terlebih dahulu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan juga keberkesanan.

“NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pada 27 November lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin COVID-19.

Ujarnya lagi, jumlah vaksin tersebut akan dapat memenuhi keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.


BACA: Malaysia dijangka terima vaksin COVID-19 awal tahun depan - PM

Bagaimanapun, Reuters melaporkan Pfizer sebagai berkata, cabaran dalam mendapatkan bekalan bahan mentah bagi penghasilan vaksin tersebut, akan menyebabkan ia terpaksa mengurangkan sasaran pengeluaran bagi tahun 2020.

Syarikat farmaseutikal itu berkata, berdasarkan bekalan bahan mentah sedia ada, ia hanya mampu menghasilkan sekitar 50 juta dos vaksin, lebih separuh pengurangan dari sasaran awal untuk tahun ini, iaitu 100 juta dos.