Jumlah kes COVID-19 terutamanya di depoh tahanan Imigresen dijangka bertambah pada hari ini, esok dan lusa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun kes dijangka meningkat, namun rakyat tidak perlu risau kerana ia sudah dibendung sebaiknya.

“Kami masih menunggu keputusan. Ujian telah dilakukan, kami sekarang menunggu keputusan dalam tempoh 24 jam akan datang.

“Kami meramalkan hari ini, esok dan lusa, mungkin akan berlakunya peningkatan jumlah kes tapi apa yang penting, ia sudah dibendung.

“Mereka yang positif diasingkan dan dibawa terus ke hospital dan mereka yang negatif, kami asingkan mereka dan kuarantin mereka di tempat sesuai,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya pada Isnin.

Sebanyak 172 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif virus berkenaan di negara ini sebanyak 7,417 kes.

Dr Noor Hisham berkata, ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah 1,323 kes.