Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan kluster Mambong telah ditamatkan.

Ini selepas kluster itu tidak lagi mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu dalam tempoh 28 hari daripada tarikh kes terakhir dilaporkan.

“Kluster ini mula dikesan pada 15 Julai 2020 dan melibatkan tujuh kes positif. Kluster ini mula dikesan menerusi kes indeks 581 yang bekerja di sebuah syarikat di Kuching selepas kes menjalani saringan di Kuching selepas mengalami sakit tekak.

“Hasil keputusan mendapati kes adalah positif COVID-19 pada hari sama dan susulan daripada pelaporan kes ini, pengesanan dan saringan kontak rapat mula dijalankan,” ujar kenyataan sama.

Menerusi saringan yang dijalankan terhadap 299 rakan sekerja dan kontak rapat kepada kes-kes yang telah dikenalpasti, lima kes melibatkan kontak tempat kerja dan satu kontak sosial kepada kes 581 disahkan positif COVID-19.

“Kes terakhir melibatkan kluster ini dikesan pada 29 Julai 2020 manakala kes terakhir yang dilaporkan pulih dan discaj adalah pada 9 Ogos 2020.

“Punca jangkitan COVID-19 di kluster ini berkemungkinan disebabkan jangkitan tempatan dalam komuniti,” tambah kenyataan itu.

BACA: Empat kluster COVID-19 di Sarawak diisytihar tamat

Justeru, Kluster Alam kini merupakan satu-satunya kluster yang kekal aktif di negeri ini melibatkan tujuh kes positif setakat ini.

Sementara itu, Sarawak hari ini tidak merekodkan pertambahan kes positif terbaharu COVID-19 menjadikan jumlah itu kekal dengan 696 kes setakat ini.