Kes yang semakin meningkat disebabkan Kluster Sentosa menyebabkan Kuching kini kembali diisytiharkan sebagai Zon Merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara tersebut dalam laman Facebook rasminya pada Sabtu.

“Empat lagi kes baharu hospital Kluster Sentosa. Hospital ini telah ditutup kepada org awam. Semua kakitangan dikuarantin dalam hospital.

“Pengesanan kontak rapat juga telah dan sedang dijalankan. 677 individu telah disaring dan diuji. 657 masih menunggu keputusan dan Kuching Sarawak telah menjadi Zon Merah,” tulisnya.

Sumber Facebook DGHisham

Astro AWANI pada Sabtu melaporkan penguatkuasaan larangan perjalanan antara isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak pada Ahad susulan perkembangan terkini COVID-19 di Kuching.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat khas itu bagi membincangkan tindakan lanjut ekoran peningkatan kes positif di Kuching dalam tempoh 14 hari.

"Hari ini, kita mempunyai lapan kes positif. Semalam sembilan kes dan dengan kes terbaru itu, Kuching kini mempunyai 39 kes positif.

"Dengan hanya satu kes sahaja lagi, kawasan itu akan berubah menjadi merah daripada zon kuning," kata Uggah dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

BACA: COVID-19: Peningkatan mendadak kes positif, JPBN Sarawak adakan mesyuarat khas esok

BACA: COVID-19: 23 kes baharu dicatat, 17 kes adalah penularan dalam negara

Dalam pada itu, Malaysia terus mencatatkan dua angka kes positif COVID-19 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 23 kes positif direkodkan setakat 25 Julai 2020.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes pulih dan dibenarkan discaj pula adalah sebanyak 17 kes.

Menurutnya, daripada 23 kes baharu itu, 17 kes merupakan kes penularan di dalam negara dengan 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala tujuh kes adalah di kalangan bukan warganegara.