KUALA LUMPUR: Lebih 90 peratus daripada keseluruhan 1.88 juta kes positif COVID-19 yang direkodkan seluruh negara adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian terbaharu di Twitter beliau.

"Daripada keseluruhan 1,880,734 kes positif, 1,721,274 kes atau 91.5 peratus adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah atau tidak lengkap divaksin.

"Daripada jumlah itu, 1.44 juta kes atau 76.7 peratus merupakan mereka yang tiada sejarah vaksinasi manakala 280,069 kes atau 14.9 peratus terdiri adalah mereka yang tidak lengkap divaksinasi," katanya.


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut berkongsikan data berhubung mereka yang mempunyai sejarah vaksinasi lengkap, iaitu sebanyak 159,460 kes atau 8.5 peratus.

Sementara itu, bagi kes harian pula, berdasarkan kes harian pada Selasa, daripada 18,547 kes baharu, 98.34 peratus adalah kategori 1 dan 2.

Daripada jumlah itu, 66.8 peratus tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi. 


Manakala 308 kes atau 1.66 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 atau 1.66 peratus. Daripada jumlah itu, 77.6 peratus tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.

"Daripada 308 kes kategori 3-5, 239 kes (77.6 peratus) terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 69 kes (22.4 peratus) daripada mereka yang telah lengkap divaksinasi," katanya.