KUALA LUMPUR: Negara merekodkan sejumlah 23,564 lagi kes harian COVID-19 pada Jumaat, sekali gus membawa angka keseluruhan kes positif kepada 1,513,024.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, peningkatan kes melebihi 23,000 ini menjadi rekod kes tertinggi setakat ini.

Semalam, Malaysia mengesahkan kes harian tertinggi pada angka 22,948 kes sejak bermulanya wabak ini.

Selangor masih memegang rekod kes harian paling tinggi dengan 6,974 kes, diikuti Sabah (2,738 kes), Sarawak (2,548 kes) dan Kedah (1,932 kes).


Dalam pada itu, seramai 21,448 lagi kes sembuh dilaporkan sekali gus menjadikan individu yang kembali pulih adalah seramai 1,241,894.

Kini, jumlah kes aktif COVID-19 di Malaysia adalah pada angka 257,417.

Untuk tempoh 24 jam lalu, 233 lagi nyawa terkorban akibat COVID-19 dan ini membawa angka kes korban adalah 13,713.

Unit rawatan rapi (ICU) kini menempatkan seramai 1,062 pesakit dengan 518 memerlukan bantuan alat pernafasan, menurun sedikit berbanding semalam seramai 528.