KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju menyumbang dua bulan gaji kepada Tabung Bencana Sarawak dalam usaha memerangi penularan COVID-19 di negeri itu.

Keputusan dibuat hasil perbincangan bersama anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Ia melibatkan gaji ahli MMKN, elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabung Parti Sarawak (GPS) dan setiausaha politik.

Menerusi kenyataan pejabat Ketua Menteri pada Jumaat, sumbangan dianggarkan berjumlah RM3 juta itu akan dibuat melalui potongan gaji bermula Jun ini.

“Kadar potongan yang dipersetujui adalah 30 peratus daripada gaji bulanan Ketua Menteri, 25 peratus daripada gaji Timbalan Ketua Menteri.

‘’Manakala 20 peratus daripada gaji Menteri dan Speaker, 15 peratus daripada gaji Menteri Muda, 10 peratus daripada elaun ADUN dan lima peratus daripada elaun Setiausaha Politik,’’ kata kenyataan itu.

Selain itu, kerajaan GPS juga sedang mempertimbangkan untuk meneruskan sumbangan secara bulanan melibatkan ahli MMKN, ADUN GPS dan Setiausaha Politik sekiranya pandemik ini berterusan.

Antara lain, mesyuarat sama juga memutuskan untuk menyumbangkan sejumlah Imbuhan Tetap Keraian (ITK) melibatkan penjawat awam negeri selama dua bulan bermula Julai 2021.

‘’Ia melibatkan 50 peratus daripada ITK pekerja Gred Utama A, Gred Khas A dan setara, 20 peratus melibatkan pekerja Grad Utama B, Gred Khas B dan setara, 10 peratus daripada Gred Utama C, Gred Khas C dan setara ke atas.

‘’Bagi pekerja Gred 43-56 dan setara, lima peratus daripada ITK yang diterima dan RM10 bagi pekerja Gred 29-42 dan setara,’’ tambahnya.

Kadar sumbangan melibatkan hampir tujuh ribu penjawat awam melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri dijangka berjumlah RM300 ribu.

Bagaimanapun petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pencegahan COVID-19 di negeri itu dikecualikan daripada pemberian sumbangan ini.

Sementara itu, kerajaan negeri juga akan meminta semua syarikat milik kerajaan (GLC) di Sarawak untuk sama-sama turut serta dalam pemberian sumbangan ini sebagai komitmen dalam menangani pandemik ini.