Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) direka khas bagi menimbulkan suasana seperti berada di rumah dan bebas daripada tekanan.

Timbalan Pengarah Klinikal 1, pusat kuarantin itu, Kolonel Dr Mohd Arshil Mohaideen memberitahu, ia direka seumpama itu dengan mengambil kira jangka masa yang akan diduduki oleh pesakit terbabit.

Katanya, pusat yang berkapasiti 604 pesakit itu dilengkapi dengan ruang tamu berserta televisyen dan kemudahan gym.

"Selain itu kita juga menyediakan kemudahan kesihatan mental yang memberi ruang kepada pesakit untuk berkomunikasi dengan pakar psikologi kita secara dalam talian.


"Kita akan memberi sama ada telefon pintar atau komputer riba dan membenarkan mereka berkomunikasi dengan pakar kesihatan di satu ruang khas yang disediakan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Dalam fasa pertama, pusat kuarantin itu menerima 30 pesakit yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan di Dewan A yang dikhaskan kepada orang ramai.

Sementara itu, Dr Mohd. Arshil memberitahu, Dewan C yang masih dalam proses penyediaan akhir itu pula dikhaskan kepada barisan hadapan yang disahkan positif jangkitan itu.

Ditanya mengenai langkah pencegahan keselamatan kakitangan perubatan di pusat kuarantin itu, beliau menjelaskan setiap daripada mereka perlu menjalani ujian pengesanan penyakit itu menerusi swab sebelum memulakan tugas di situ.

"Kita juga akan menjalankan ujian saringan termasuk melakukan pemeriksaan suhu pada setiap hari dan bagi petugas di zon merah pula perlu mengambil ujian swab seminggu sekali," jelasnya.

Ditanya mengenai pengagihan tugas yang dilihat membabitkan banyak agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau berkata tugas dibahagikan secara spesifik bagi mengelakkan sebarang pertindihan.

Selain itu katanya, mereka juga akan melakukan stimulasi pembahagian tugas bagi memastikan proses kerja berjalan lancar.