Kementerian Kesihatan Malaysia akan melakukan pemantauan dan saringan susulan kepada jemaah tabligh yang sebelum ini didapati negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengesanan jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling pada penghujung Februari lalu akan terus dipertingkat dengan bantuan pihak polis.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pihak polis untuk membawa mereka datang ke hospital atau klinik.

"Itu yang penting, iaitu untuk kita mengesan mereka. Apabila dapat kesan, baru kita dapat buat ujian saringan.

"Kalau positif, baru masuk hospital atau tempat kuarantin. Tapi kalau negatif, kita akan lihat bagaimana kita boleh susuli rawatan mereka mungkin (ketika) dalam kuarantin," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

KKM semalam mendedahkan nisbah kes positif bagi setiap jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling yang disaring adalah satu kepada 10.

Secara keseluruhan, pihaknya telah menyaring seramai 11,000 jemaah.