Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Sentosa dikesan di negara ini membabitkan sebuah hospital di Kuching, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster tersebut dikesan positif COVID-19 pada 19 Julai lalu.

Jelas beliau, mangsa merupakan kes ke-8773 yang juga merupakan seorang petugas kesihatan yang telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai.

"Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan. Sehingga 21 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 61 orang telah disaring, iaitu terdiri daripada:

"Lima kes positif COVID-19; dan 56 adalah negatif. Ini menjadikan kluster ini mempunyai enam kes, iaitu lima petugas kesihatan dan satu pekerja syarikat pembersihan.

"Kesemua kes ini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak," katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Dr Noor Hisham menambah setakat ini perkhidmatan hospital tersebut masih diteruskan.

Bagaimanapun, hospital tersebut tidak menerima pesakit dalam, manakala pesakit luar akan dirujuk ke hospital berdekatan yang ditetapkan untuk rawatan buat sementara waktu.

Katanya, proses nyah kuman dan nyah cemar sedang giat dijalankan dan punca jangkitan kluster masih dalam siasatan.

Sehingga 21 Julai, sebanyak 19 kluster masih aktif, di mana 13 kluster baharu dikesan dalam tempoh 10 hari kebelakangan.