KOTA KINABALU: Aktiviti menjual nombor ekor haram dipercayai menjadi punca tercetusnya salah satu daripada tiga kluster baharu COVID-19 yang direkodkan di Sabah semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Kluster Kuarters Bata Durok di Keningau melibatkan 12 kes kumulatif dicetus kes indeks seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun dikesan positif pada Rabu lepas (23 Jun) dan saringan kontak rapat mengesan 11 lagi kes positif COVID-19.

"Kluster ini melibatkan penularan kes COVID-19 dalam komuniti di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Daerah Keningau.

"Berdasarkan siasatan awal, aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram dipercayai punca jangkitan merebak kepada ahli keluarga seterusnya komuniti," kata beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan COVID-19 menerusi satu kenyataan di sini.

Turut direkodkan semalam Kluster Tembok Kota Kinabalu melibatkan penularan COVID-19 dicetus oleh kategori golongan berisiko di Penjara Pusat Kepayan di sini dan melibatkan 34 kes kumulatif COVID-19 sehingga semalam.

"Kluster ini melibatkan penularan jangkitan di Kota Kinabalu sebanyak 31 kes, Papar dua kes dan Penampang satu kes... kes indeks ialah banduan lelaki, warganegara Indonesia berusia 24 tahun yang disahkan positif pada 17 Jun hasil saringan orang kena tahan di penjara pusat tersebut," katanya.

Satu lagi kluster direkodkan semalam ialah Kluster Linau Kumpang di Kota Belud yang sehingga semalam mencatat 30 kes kumulatif COVID-19.

"Kes indeks seorang wanita warganegara Malaysia berusia 40 tahun disahkan positif pada 13 Jun sebelum ujian saringan menemukan 29 lagi kes positif terdiri dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual," katanya.

Berdasarkan siasatan awal kes indeks yang berasal dari Kampung Ejuk berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti ketika menziarahi keluarganya di Kampung Linau Kumpang pada 10 Jun lepas.

Sabah merekodkan 190 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,767 kes, manakala pesakit sembuh pula seramai 151 orang menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada pandemik itu 66,681 orang.

-- BERNAMA