KUALA LUMPUR : Malaysia mencatatkan 3,733 kes baharu COVID-19 hari ini, dengan rekod kematian tertinggi baharu sebanyak 26 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah keseluruhan kes COVID-19 kini sebanyak 440,677 kes.

Katanya, negara juga mencatatkan pertambahan 26 kes kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 kini sebanyak 1,683 kes.

"Daripada jumlah kes baharu, sebanyak enam  kes import dilaporkan yang menerima jangkitan dari luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 37,060 kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jumlah kes kematian tertinggi sebelum ini adalah 25 kes yang dicatatkan masing-masing pada 18 Februari dan semalam.

Sementara itu, bagi perkembangan mengikut negeri, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,278 kes dan diikuti Sarawak (454) dan Johor (365).

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, 416 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawtaan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 216 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kes sembuh terus meningkat sebanyak 3,211 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 401,934 kes.