KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan 1,581 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 100,318 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,579 kes tempatan.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID19 pula adalah 18,773 kes.

Negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 491 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 379 kes dan Sabah 249 kes.

"Sebanyak 270 kes (17.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tembok Gajah (74 kes), Kluster GK Tawau (6 kes), Kluster Tembok (4 kes), dan Kluster Bakti (1 kes)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Dalam pada itu, sebanyak 1,085 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 81,099 kes.

Selain itu, terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah 446 kes.

Sehingga kini, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, terdapat empat  kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

1. Kluster Kebun Baru 

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Langat di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah kilang. Sehingga 24 Disember 2020, sejumlah 580 individu telah disaring, di mana 95 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

2. Kluster Sungai Burong

Kluster ini melibatkan daerah Kuala Selangor di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-91410) merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan telah dilaporkan positif COVID-19 pada 19 Disember 2020. Sehingga 24 Disember 2020, sejumlah 167 individu telah disaring, di mana 28 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

3. Kluster Tapak Bina Jalan Tun 

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 24 Disember 2020 melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan. Sehingga 24 Disember 2020, sejumlah 177 individu telah disaring, di mana 26 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini. 

4. Kluster Jalan Pandan 

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai, Cheras, Kepong, dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Langat di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-84263) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 14 Disember
2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 24 Disember 2020, sejumlah 165 individu telah disaring, di mana 30 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.