KUALA LUMPUR:Bilangan kes baharu COVID-19 di Malaysia kekal pada tiga angka selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 115 lagi kes baharu pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehubungan itu jumlah kumulatif kes dalam negara kini meningkat kepada 11,034 kes.

“Daripada jumlah kes yang dilaporkan, 112 merupakan kes tempatan dan tiga lagi kes import.

“Sebanyak 11 daripada kes tempatan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah,” jelas Dr Noor Hisham.

Katanya, jumlah kes aktif kembali meningkat kepada 1,011 kes.

Kali terakhir Malaysia mencatatkan jumlah kes aktif melebihi 1,000 adalah pada 13 Jun lalu dengan 1,014 kes.

Sementara itu, sebanyak 54 lagi kes disahkan pulih menjadikan jumlah kes pesakit sembuh meningkat kepada 9,889 kes.

Selain itu, katanya , sebanyak lapan kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan lima kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, tiada kluster baharu dikesan dan jumlah kes kematian masih kekal 134 kes.