PUTRAJAYA: Dakwaan pendaftaran suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera hanya boleh dilakukan oleh pengguna telefon jenama Apple sahaja adalah tidak benar sama sekali.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan bermula semalam sama ada menerusi platform iOS, Android ataupun telefon jenama Huawei.

"Semalam, pada awalnya, heboh di media sosial menyatakan bahawa hanya pengguna Apple sahaja boleh mendaftar.

"Sebenarnya ini tidak benar. Kita sebenarnya telah menghantar permohonan mengemaskini aplikasi MySejahtera untuk kesemua sistem operasi (OS) talian bimbit pada waktu yang sama, tetapi platform-platform ini mengambil tempoh masa yang berbeza-beza untuk memaparkan perubahan yang telah dibuat di platform masing-masing," katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.

Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 selepas melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sekaligus menandakan bermulanya secara rasmi program imunisasi terbesar itu di seluruh negara.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Sejarah tercipta, PM individu pertama terima suntikan Pfizer-BioNTech

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut melancarkan pendaftaran vaksin melalui aplikasi MySejahtera untuk orang ramai mendaftar bagi menerima vaksin yang dibuka bermula hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, setakat jam 2.45 petang tadi, sejumlah 465,081 pendaftaran telahpun diterima.

"Jadi kepada sesiapa yang belum lagi memuat turun aplikasi atau mengemaskini MySejahtera, anda bolehlah berbuat sedemikan selepas ini.

"Setelah anda berjaya mengemaskini aplikasi MySejahtera, logo vaksinasi COVID-19 akan terpapar dan seterusnya ikut sahaja arahan yang dinyatakan.

"Secara ringkasnya, anda perlu mengesahkan maklumat anda, kemudiannya menjawap beberapa soalan yang berkaitan dengan kesihatan anda dan seterusnya, tekan butang hantar," jelasnya.

Skrin pendaftaran vaksin di aplikasi MySejahtera

Beliau menambah, panggilan penerima vaksin bagi kumpulan tertentu akan dipilih berdasarkan senarai giliran pendaftaran menerusi aplikasi berkenaan.

“Kita akan memanggil penerima vaksin ini mengikut giliran yang didaftarkan menerusi aplikasi MySejahtera. Sebab itu kita minta agar semua pihak daftar awal.

“Tetapi jika ada kawasan tertentu berada dalam zon merah, kita akan dahulukan mereka yang daftar awal dalam zon tersebut sebelum diagihkan kepada zon lain seperti zon kuning dan seterusnya hijau,” katanya.