MOSCOW: Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar menyangkal kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bahawa India adalah sebuah negara xenofobia dan berhadapan dengan masalah ekonomi, lapor Sputnik

Awal minggu ini dalam satu kempen mengumpul dana, Biden berkata Jepun dan India, bersama Rusia dan China adalah negara xenofobia yang tidak mahu menerima imigran. Beliau berkata ini adalah faktor kepada masalah ekonomi di negara berkenaan.

"Pertama, ekonomi kita tidak tersangkut-sangkut... India sememangnya sebuah negara unik. Saya katakan sebenarnya dalam sejarah dunia ia merupakan sebuah masyarakat yang amat terbuka. Orang yang berbeza daripada masyarakat berlainan datang ke India," kata menteri itu dalam satu majlis meja bulat anjuran akhbar Economic Times pada Jumaat.

Jaishankar berkata undang-undang Kerajaan India mengalu-alukan ketibaan migran untuk melawat negara itu.

"Oleh kerana itu kami ada CAA (Akta Pindaan Kerakyatan) yang membuka pintu kepada mereka yang dalam masalah ... saya fikir kami harus terbuka kepada mereka yang mempunyai keperluan datang ke India, yang mempunyai satu tuntutan untuk datang ke India," katanya.

Rumah Putih berkata apa yang Biden katakan tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan Jepun dan India tetapi sebagai menzahirkan kedudukan AS yang lebih luas dalam isu penghijrahan.

-- BERNAMA