MALAYSIA
Dasar Gaji Progresif: Insentif tunai galak majikan naikkan gaji pekerja

Che Rahim Daud jelaskan insentif tunai DGP kepada majikan yang naikkan gaji pekerja dalam rancangan AWANI Pagi bersama Kementerian Ekonomi.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan penuh Dasar Gaji Progresif (DGP) pada tahun 2025, yang dijangka memberi manfaat kepada 50,000 pekerja di seluruh negara.
Ringkasan AI
- Kerajaan laksana penuh Dasar Gaji Progresif (DGP) mulai 2025, dengan insentif tunai kepada majikan yang naikkan gaji ikut syarat.
- Majikan boleh terima hingga RM200 sebulan untuk pekerja baharu dan RM300 sebulan untuk pekerja sedia ada, bergantung pada kadar kenaikan gaji.
- Bayaran insentif dibuat bulanan; pendaftaran DGP dibuka mulai Januari 2025 melalui portal rasmi https://gajiprogresif.gov.my.
“Insentif akan disalurkan mengikut kadar dan kategori pekerja, iaitu pekerja peringkat permulaan (entry level) dan pekerja bukan peringkat permulaan (non-entry level),” katanya dalam rancangan AWANI Pagi.
Bagi pekerja entry level, iaitu mereka yang berkhidmat dalam tempoh 12 bulan pertama di syarikat dan jawatan tersebut, majikan perlu menaikkan gaji sekurang-kurangnya sama atau melebihi kadar permulaan yang ditetapkan dalam Buku Panduan Gaji Pokok Permulaan dan Kenaikan Tahunan (GPPKT).
“Majikan layak menerima insentif maksimum RM200 sebulan. Namun, jika jurang gaji semasa dan kadar permulaan melebihi RM200, majikan hanya perlu menaikkan sekurang-kurangnya RM200,” jelas beliau.
Bagi pekerja non-entry level, iaitu yang telah berkhidmat lebih 12 bulan, majikan perlu menaikkan gaji sekurang-kurangnya 6 peratus setahun, selaras dengan kadar minimum kenaikan tahunan dalam GPPKT.
“Majikan boleh menerima insentif maksimum RM300 sebulan, bergantung kepada peratus kenaikan gaji. Jika gaji telah dinaikkan sebelum menyertai DGP, mereka tetap layak selagi kenaikan itu memenuhi syarat minimum 6 peratus,” tambahnya.
Insentif ini akan dibayar secara bulanan kepada majikan yang memenuhi syarat dan telah menaikkan gaji pekerja seperti ditetapkan.
Pendaftaran bagi pelaksanaan penuh DGP telah dibuka mulai Januari 2025 melalui portal rasmi https://gajiprogresif.gov.my.
Dasar Gaji Progresif merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam memacu pasaran buruh yang lebih mampan dan berdaya saing, selaras dengan komitmen meningkatkan pendapatan rakyat dan produktiviti negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami