KOTA BHARU: Dasar pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum penghujung suku pertama tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah bertemu dengan Kementerian Kewangan, pengendali syarikat komunikasi dan pihak DNB untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara tersebut.

"Perbincangan hala tuju itu masih memerlukan sedikit masa lagi, kita telah mendapat maklum balas daripada semua pihak dan pada waktu ini Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Kewangan sedang meneliti apakah langkah dan kesan sekiranya kita mengambil sebarang pilihan yang dilakukan.

"Saya jangka sebelum penghujung suku pertama 2023, kita akan dapat bentangkan kepada Jemaah Menteri dan daripada situ saya percaya pihak kerajaan akan mengumumkan berhubung dasar pelaksanaan rangkaian 5G," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama warga KKD Kelantan di Jabatan Penyiaran negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed dalam satu kenyataan dilapor berkata, pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah rangkaian Internet di beberapa kawasan yang terjejas, Fahmi berkata, pihaknya sedang dalam proses perbincangan untuk menubuhkan satu pusat kawalan komunikasi bagi mengatasi masalah tersebut.

"Ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu lepas, baginda ada sampaikan titah mengenai masalah Internet yang dihadapi komuniti di Kuala Boh, Cameron Highlands, Pahang.

"Kita lihat banyak masalah seperti itu dan saya telah minta Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching untuk bekerjasama dengan MCMC untuk wujudkan satu pusat kawalan komunikasi dengan mengenal pasti lebih awal kawasan yang menghadapi masalah akses rangkaian Internet," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebocoran data maklumat, Fahmi berkata, KKD bercadang untuk mengemukakan pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) ke Parlimen bagi mengekang isu kebocoran data pengguna.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti untuk mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri berkaitan perkara itu dan diharapkan dapat diselesaikan tahun ini.

Sementara itu, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya menyemak isi kandungan maklumat sebelum menyebarkan berita tidak benar bagi mengelak kekeliruan dan menyebabkan tindakan undang-undang diambil dengan semakan boleh dibuat menerusi MyCheck Malaysia, inisiatif semakan fakta oleh Bernama di pautan http://www.mycheck.my atau portal Sebenarnya.my kelolaan MCMC.

Selain itu, beliau berkata, pihak yang berdepan penipuan siber (scam) digesa menghubungi segera Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 supaya tindakan selanjutnya boleh dilakukan pihak berkuasa.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran di KELANTANfm menerusi Segmen Apa Khabar Ore Kelantan (AKOK) Khas bersama Menteri Komunikasi dan Digital, disiarkan secara langsung di radio dan 'Facebook Live' sempena lawatan kerja beliau ke negeri itu, hari ini.

Fahmi turut berkata, KKD bakal mengumumkan satu pakej baharu bagi Internet jalur lebar 'fixed line broadband' dalam masa terdekat.

Mengenai Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih yang akan berada di pasaran bulan depan, beliau berkata, pelan pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dengan kelajuan 3Mbps tiga kali lebih pantas berbanding sebelumnya itu disasarkan kepada belia berusia hingga 30 tahun, golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, KKD memberikan sumbangan RM500,000 kepada penduduk terjejas banjir berserta barangan daripada syarikat telekomunikasi dan memaklumkan Teo akan ke Terengganu esok bagi menyampaikan sumbangan. - BERNAMA