Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengadakan bancian bagi melihat jumlah penduduk yang layak untuk terus menduduki rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) & Projek Perumahan Awam DBKL (PPA).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan DBKL, Datuk Rizalman Mokhtar berkata perkara ini adalah kerana ada penduduk yang tidak lagi berpendapatan rendah masih menetap di rumah PPR dan PPA sekaligus menafikan hak mereka yang layak.

Menurut Rizalman, hampir 40 tahun DBKL telah membina 74,000 unit rumah PPR dan PPA untuk mereka yang berpendapatan seisi rumah RM3,000 ke bawah.

Katanya, bancian perlu dilakukan memandangkan jumlah senarai menunggu pemohon rumah PPR dan PPA sudah hampir 60,000 orang.

Rizalman menjelaskan lagi, penduduk yang tidak layak untuk mendiami lagi, akan ditawarkan pembelian rumah mampu milik (RUMAWIP) dengan harga dibawah RM200,000 seunit.

Rizalman berkata demikian ketika sidang media bersama pemilik-pemilik RUMAWIP di Institut Latihan DBKL Bandar Tun Razak pada Ahad.