KUALA LUMPUR:Kerajaan memberi dua pilihan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal membawa pekerja mereka menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 1 Januari depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pilihan pertama, KKM boleh mengenakan  kompaun RM1,000 dan kedua, kementerian itu boleh membawa majikan yang degil ke mahkamah.

Jelasnya, kerajaan tidak dapat menaikkan denda sedia ada ke atas majikan yang masih berdegil membuat saringan ke atas pekerja memandangkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih belum dipinda di parlimen.

Justeru, ketika ini, dua pilihan berkenaan diberikan kepada KKM untuk tindakan sewajarnya.

"Semalam ada berita kata sebuah kilang industri didenda RM1,000. Jadi rakyat marah sebab kes besar. Saya nak jelaskan bahawa di bawah Akta 342, hukuman maksima denda adalah RM1,000 sahaja. Kalau nak tambah denda boleh, tapi ia mesti dibawa ke parlimen untuk pindaan.

"Setakat ini, akta ini masih belum dipinda. Jadi maksimum adalah RM1,000 kecuali kes dibawa ke mahkamah dan mahkamah boleh menentukan hukuman sehingga penjara 12 bulan misalnya. Kita buat keputusan beri pilihan pada KKM, kalau tidak mahu kompaun, mereka boleh hadapkan majikan berdegil ini ke mahkamah," katanya dalam sidang media pada Isnin. 

BACA: Majikan gagal lakukan saringan terhadap pekerja asing akan dikenakan tindakan

Sehingga 28 Disember 2020, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas 70,159 pekerja dengan melibatkan 2,405 majikan.

BACA: JEJAK COVID-19

"Sehingga kini, 749 buah klinik dilantik untuk terlibat dengan saringan. Setiap klinik akan menyaring 200 hingga 400 pekerja sehari.