Kejam!

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengalami kecederaan teruk di belakang badan dipercayai akibat didera ibu bapanya.

Kanak-kanak malang itu dipercayai didera menggunakan wajar mikrofon, rotan dan penyangkut baju hingga mengalami luka sejak dua tahun lalu iaitu ketika berusia 10 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, susulan insiden itu, pihaknya menahan pasangan suami isteri di sebuah rumah di Kampung Majidee, Johor Bahru.

Kata beliau, lelaki yang ditahan itu merupakan bapa tiri kepada mangsa dan bekerja sebagai pemandu bas di Singapura.

Manakala wanita itu pula adalah ibu kandung kepada mangsa, warganegara Indonesia dan menjalankan perniagaan makanan secara atas talian.

Kanak-kanak tersebut sedang menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital di Johor Bahru.

Polis turut merampas seutas wajar mikrofon, sebatang rotan dan penyangkut baju dari rumah tersebut yang dipercayai digunakan untuk mendera kanak-kanak terbabit.

Shahurinain berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Sebelum ini, gambar kanak-kanak itu tular di media sosial dengan kesan pukulan dan luka di belakang badan.

Turut tular gambar tangkapan suspek lelaki berpakaian baju polis.

Jelas Shahurinain, gambar anggota polis itu adalah gambar lama semasa dia bertugas sebagai anggota sukarelawan polis dan telah ditamatkan perkhidmatan pada 2013.

Kes penderaaan kanak-kanak ini juga disiasat di bawah Sekseyn 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.