Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pelantikan enam ahli Jawatankuasa Pemilih bagi tempoh Parlimen ke-14.

Mereka terdiri daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usul yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan mengikut Peraturan Mesyuarat 76 itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ia bagi menggantikan ahli jawatankuasa sebelum ini iaitu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera; Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Penampang Datuk Ignatius Darell Leiking; dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai.

Jawatankuasa Pemilih dilantik untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

-- BERNAMA