Dewan Ulama PAS Selangor menafikan sekeras-kerasnya mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan kehadiran calon PAS Dr Abdul Rani Osman di Majlis Iftar Perdana di Dewan Kampung Hala Cara Baru di Sungai Panjang, kelolaan Amanah.

Menurut Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Muhammad Najhan Halim sebaran mengenai perkara ini telah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menerusi aplikasi Whatsapp sejak petang Selasa.

“Dewan Ulama PAS Selangor menolak sekerasnya amalan politik fitnah dan sebaran maklumat tanpa sebarang usul periksa dan tabayyun.

“Dewan Ulamak PAS Selangor akan terus bersama kepimpinan dan jentera PAS bagi memenangi PRK P093 Sungai Besar,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Sebelum ini, calon PAS untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, Dr Abdul Rani Osman membuat kejutan apabila hadir di majlis berbuka puasa yang dianjurkan bagi tujuan berkempen untuk calon Parti Amanah Negara (Amanah).

Dr Abdul Rani, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Meru disambut secara sopan dan diberikan tempat di meja utama untuk berbuka puasa.