‎Kemelut politik kerusi Menteri Besar Selangor sudah boleh dijangka dengan klimaks drama adalah pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR serta-merta pada Sabtu.

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, walaupun jalan cerita sudah sampai ke penghujung kerana skrip tersebut memang sudah ada, masih ada episod baru yang lebih mengujakan iaitu pendirian PAS mengenai kedudukan Abdul Khalid.

"Episod seterusnya terletak pada PAS. Sama ada mereka terus sokong Abdul Khalid seperti mana pendirian mereka sebelum ini atau menarik balik sokongan mereka.

"Pada masa yang sama, sekiranya mereka ikhlas, mereka boleh mempelawa Abdul Khalid menyertai parti itu kerana kedudukan menteri besar yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.

Pada Sabtu‎, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Abdul Khalid dari PKR kerana beberapa alasan termasuk mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memilih Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang terbaharu.

Bagaimanapun, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, Majlis Syura Ulama PAS tetap dengan keputusan tidak berganjak dengan keputusannya untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

‎Dalam pada itu, Noh berkata, walaupun disingkir daripada PKR, Abdul Khalid boleh kekal sebagai ketua kerajaan negeri kerana pelantikannya sah menurut Perlembagaan.

"Inilah kali pertama dalam sejarah Selangor, menteri besar adalah ADUN Bebas. Namun begitu UMNO Selangor mengambil pendirian tunggu dan lihat sahaja drama ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid menerima keputusan PKR untuk membatalkan keahliannya dalam PKR namun akan menghadap Sultan Selangor dan mendengar pandangan baginda tentang perkembangan‎ tersebut.