Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dilihat menggunakan dron secara meluas bagi mengawal dan memantau pergerakan orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April nanti.

Jika sebelum ini digunakan pada sebelah siang, penggunaan dron kini diperluaskan pada sebelah malam yang menyaksikan dron ATM, umpamanya, digunakan dalam 'Op Penawar' bermula malam tadi bagi memantau pola pergerakan orang awam di pusat bandar serta di sekitar Lembah Klang selain turut digunakan di kawasan zon merah wabak COVID-19.

Dilancarkan empat hari lepas, lebih 10 unit dron yang dilengkapi dengan alat teknologi pengesan haba dan pembesar suara yang boleh memantau pergerakan individu secara lebih meluas di kawasan sempit telah digunakan.

Apa yang menariknya, dron yang digunakan ini juga berupaya memberikan siren amaran dan nasihat kepada masyarakat untuk mematuhi PKP dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Antara lokasi penggunaan dron itu ialah di tempat-tempat tumpuan awam seperti Pasar Borong Selayang, Pasar Keramat, Chow Kit dan Little India Brickfields.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (kiri) melihat paparan skrin yang menunjukkan penggunaan dron oleh Angkatan Tentera Malaysia dalam tugasan OP Penawar di sekitar ibu kota, 28 Mac, 2020. --fotoBERNAMA


Cara sebegini dilihat efektif bagi menyampaikan amaran dan maklumat di kawasan lebih luas dan jauh kerana masih ramai individu gagal mematuhi arahan apabila masih banyak kenderaan dilihat berada di jalan walaupun PKP sudah memasuki hari ke-12, hari ini.

Walaupun jumlah kenderaan hari ini tidaklah sebanyak jika dibandingkan pada awal PKP dilaksanakan, namun pematuhan rakyat sepenuhnya terhadap PKP yang sedang dilaksanakan haruslah dicapai 100 peratus bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 iaitu dengan cara duduk di rumah atau 'stay at home'.

Memetik kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam, sepanjang pelaksanaan PKP, sebanyak 1,046 sekatan jalan raya diadakan dengan jumlah kenderaan diperiksa sebanyak 240,544.

Melihat keadaan itu, kerajaan terpaksa mempertimbangkan langkah komprehensif dan akan mengumumkan prosedur operasi standard baharu PKP yang lebih ketat di seluruh negara dalam sehari dua lagi.

Bagi mengurangkan kes penyebaran COVID-19, pihak berkuasa telah melakukan segala yang diperlukan dengan tidak teragak-agak mengenakan hukuman ke atas mereka yang masih berdegil.


Anggota polis dari Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman Sarjan Azreen Shah Alias menerbangkan dron ketika tinjauan di Bukit Bintang, 28 Mac, 2020. --fotoBERNAMA


Ini dibuktikan dalam tempoh 48 jam sahaja, hampir 400 tangkapan dibuat ke atas individu yang tidak mematuhi PKP.

Antara sebab ditangkap kerana mereka keluar melakukan senaman dan menunaikan solat Jumaat. Malah ketika ditahan, ada diantaranya memberi alasan mahu membeli barang sedangkan arahan PKP secara jelas mengehadkan pergerakan keluar rumah hanya untuk tujuan membeli kelengkapan harian dan dilakukan ketua keluarga saja.

BACA: Unit Dron ATM jadi 'mata' sepanjang PKP berkuat kuasa

BACA: ATM akan guna dron dan UAV pantau Perintah Kawalan Pergerakan

BACA: Koronavirus: Warga emas terkejut diherdik dron kerana tidak pakai topeng muka

Tindakan dilakukan itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mengekang penyebaran wabak ini yang tidak mengenal mangsa.

Sebanyak 159 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari semalam, menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 2,320 kes, manakala kematian akibat wabak itu berjumlah 27 orang.

Sementara itu, menurut Kementerian Luar seramai 86 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dari Kaherah, Mesir menaiki pesawat sewaan khas kerajaan Brunei Darussalam yang dijangka tiba di Bandar Seri Begawan hari ini.

Kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari yang sama dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.25 pagi ini.

-- BERNAMA