Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas dua lelaki selepas mereka mengaku bersalah atas kesalahan mengurung seorang ahli perniagaan berpangkat 'Datuk' bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM19 juta, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ang Boon Leong, 41, dan Lim Sin Chye, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan di depan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya.

Kedua-dua mereka pada awalnya didakwa bersama empat lagi tertuduh dan dua yang masih bebas dengan niat mengurung secara salah serta rahsia Datuk Chin Yoke Choon, 53, kira-kira pukul 5.55 petang pada 26 Disember 2015.

Mereka melakukan kesalahan itu di kawasan letak kereta Hotel Sri Manja Boutique, B2-34 Jalan IM7/1, Bandar Indera Mahkota di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Muhamad Asyraf Md. Kamal manakala tertuduh diwakili peguam S. Parameswaran.

Mengikut fakta kes, mangsa, seorang pengarah eksekutif syarikat pasar raya besar, hartanah dan pembinaan diculik sekumpulan lelaki berpakaian seragam polis yang menaiki 'kereta peronda'.

Mangsa dibebaskan di Genting Sempah, Bentong dekat sini selepas 74 hari ditahan selepas keluarganya membayar wang tebusan dalam mata wang Singapura.