SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditahan polis ketika cuba memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah treler ke dalam dua buah lori di sebuah premis di Bedong, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abd Rahman@Abd Rahim berkata, hasil siasatan mendapati treler itu dipercayai milik sebuah persatuan nelayan dan dipandu seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an.

Beliau berkata, serbuan hasil maklumat dan risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda itu dijalankan pada jam 10.50 pagi.

"Sebaik tiba di premis, pasukan operasi mendapati dua lelaki terbabit sedang melakukan aktiviti memindahkan minyak diesel dari treler ke dua buah lori.

"Susulan itu, polis menahan kedua-dua suspek," katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda semalam.

Menurut Anuar, hasil pemeriksaan di dalam sebuah lori menemui cecair disyaki diesel dengan anggaran isi padu 800 liter manakala dalam sebuah lagi lori, cecair disyaki diesel anggaran isi padu 2,100 liter.

“Pemeriksaan lanjut dalam treler itu pula menemui cecair disyaki minyak diesel dianggarkan sebanyak 27,000 liter," katanya. 

Foto Astro AWANI

Anuar berkata, pihaknya melakukan tangkapan dan rampasan terhadap kedua-dua individu serta treler berkenaan, bersama dua lori yang mengandungi diesel bersubsidi berjumlah 29,900 liter.

"Nilai rampasan minyak diesel adalah lebih kurang RM44,991.84.

"Kesemua barangan terbabit disita dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM149,991.84," katanya.

Anuar berkata, pemandu treler milik persatuan nelayan itu disyaki mengambil diesel terbabit dari sebuah depoh minyak di kawasan Perai, Pulau Pinang untuk kegunaan nelayan kawasan di daerah Kuala Muda.

Namun, dalam perjalanan, pemandu terbabit dipercayai singgah di lokasi di Bedong untuk menjual sedikit diesel bersubsidi dengan bayaran RM250 bagi setiap 200 liter. 

Katanya, pemilik premis berusia 40-an itu mengaku membeli minyak diesel bersubsidi terbabit daripada pemandu treler berkenaan.

"Kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuala Muda mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan," tambahnya.

Menurutnya lagi, kes akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sungai Petani.