Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen malam tadi menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket menjual pasport antarabangsa Malaysia kepada warga asing.

Mereka yang berumur 29 tahun ditahan dalam satu operasi di sekitar Puchong, Selangor antara pukul 11 dan 11.30 malam pada Khamis.

"Semasa ditangkap mereka cuba merasuah pegawai penguat kuasa imigresen, jadi kes itu kita turut serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut," kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Aloyah Mamat seperti dipetik oleh Bernama.

Pihak berkuasa merampas wang tunai sebanyak RM70,000 daripada kedua-dua lelaki itu.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan. Mereka akan dibebaskan dengan jaminan sejumlah wang tunai selepas diambil keterangan.

Menurut Aloyah, sindiket itu dikesan mempunyai rangkaian antarabangsa yang menguruskan dokumen perjalanan untuk ke negara tertentu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati menjaga maklumat peribadi agar tidak diketahui oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Beliau juga memberi amaran mana-mana individu yang sengaja menjual maklumat peribadi untuk kegunaan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata operasi itu hasil kerjasama antara Jabatan Imigresen Malaysia dan SPRM dan dianggap langkah proaktif dalam menangani isu sindiket pasport palsu.

"SPRM mengucapkan terima kasih ke atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh Jabaran Imigresen sehingga membawa kepada penangkapan dua individu terbabit," katanya.

Pihaknya juga yakin penangkapan itu akan membuka jalan kepada usaha mengesan dalang sebenar sindiket terbabit.