KUANTAN: Seorang lelaki dan wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Kampung Salong, di Pekan hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata dalam kemalangan pada 8.30 pagi itu, mangsa Azmi Nujaini, 42, dan jururawat Noridah Abd Jalal, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia yang dipandu Noridah dari arah Salong menghala ke Chini telah hilang kawalan dan melanggar kenderaan jenis Proton Saga dipandu Azmi di arah bertentangan.

"Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pemandu Perodua Axia yang hilang kawalan semasa memandu hingga menyebabkan berlaku kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata kemalangan itu turut mengakibatkan kedua-dua kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA