Dua penunggang motosikal maut selepas bertembung dalam kejadian di Lebuh Raya Thean Taik, Air Itam pada pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kedua-dua mangsa, Pow Chin Huai, 63, dan Azri Sulaiman, 26, maut di tempat kejadian selepas tercampak beberapa meter dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Chin Huai telah bertembung dengan motosikal Azri.


Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat .

Polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.