SEREMBAN: Dua pegawai Imigresen yang ditahan dalam Op Selat, masing-masing didenda RM15,000 dan RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima rasuah pada 2019 dan tahun lepas.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Izhmi Mohammad Noor, 35, dan Muhammad Rushdi Zainal, 27.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mohamad Izhmi yang bertugas di Jabatan Imigresen Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) didenda RM15,000 setelah mengaku menerima wang RM10,000 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dia yang dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di Kampung Jijan, Nilai pada Oktober tahun lepas, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Muhammad Rushdi yang bertugas di Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula didakwa atas dua kesalahan menerima wang keseluruhan berjumlah RM3,300 menerusi dua transaksi akaun simpanan daripada seorang individu yang bertindak sebagai ejen.

Wang itu didakwa sebagai sogokan bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui prosedur yang betul dan kesalahan itu dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Bandar Baru Nilai pada 20 Julai dan 12 Ogos 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia didenda RM6,000.

Mahkamah turut membenarkan lucut hak ke atas aset kedua-dua tertuduh termasuk sebuah motosikal, kereta dan komputer riba.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Mohamad Izhmi diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Muhammad Rushdi pula diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi.

-- BERNAMA