TANJUNG MALIM: Dua pemuda disahkan maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya yang menyaksikan sebuah kereta terbabas lalu melanggar tiang lampu di Jalan Slim Lama, dekat sini, awal pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhamad Faris Amran, 20 tahun, dan Syed Umar Syazrim Syed Hashim, 22 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, tiga lagi rakan mangsa cedera, menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Siasatan awal polis mendapati, kereta yang dinaiki lima lelaki itu sedang dalam perjalanan ke Behrang 2020.

"Seorang penumpang, iaitu seorang lelaki Melayu berusia 20 tahun, telah tercampak keluar dari kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

"Manakala seorang lagi penumpang, seorang lelaki Melayu berumur 22 tahun, telah disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, dua penumpang lain berumur 20 tahun dan 23 tahun mengalami kecederaan ringan sementara pemandu berumur 22 tahun mengalami luka di bahagian muka, kaki dan tangan.

Menurutnya, ketiga-tiga penumpang tersebut menerima rawatan lanjut di Hospital Slim River.

Sulizmie Affendy berkata, keadaan jalan raya di lokasi kemalangan didapati basah selepas hujan dan kawasan kemalangan gelap kerana tidak berlampu.

Menurutnya, proses bedah siasat mayat kedua-dua mangsa akan dijalankan selepas mendapat keputusan ujian COVID-19.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 12.22 tengah malam.

Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang terbabas dan melanggar sebatang tiang.

“Tiga orang tercampak keluar, dua daripadanya cedera ringan dan seorang maut di tempat kejadian.

“Pemandu mengalami cedera parah dan seorang penumpang hadapan cedera ringan, kedua-duanya tersepit di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nasir Ibrahim, tamat pada 1.50 pagi.