SHANGLA: Sekurang-kurangnya dua penyokong Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) bekas Perdana Menteri Imran Khan terbunuh dalam pertempuran dengan polis di bandar barat laut Shangla.

Menurut media tempatan, bantahan tercetus di tengah-tengah kelewatan pengundian dan dakwaan penipuan undi dalam Pilihan Raya Umum Pakistan yang diadakan semalam.

Kelewatan pengumuman keputusan pilihan raya bukan satu kelaziman di Pakistan dan ini menyebabkan wujud dakwaan berlakunya penipuan kiraan undi.

Sebagai tanda protes, penunjuk perasaan membakar kenderaan polis dan ia kemudian mengundang pertempuran, hingga menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Sebelum pengundian berlangsung, pihak berkuasa mengerah ribuan tentera di jalanan dan di pusat pengundian di seluruh negara.

Sempadan negara dengan Iran dan Afghanistan juga ditutup buat sementara waktu kerana keselamatan dipertingkatkan.

Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif pada Jumaat mendakwa parti yang diketuainya, Liga Muslim Pakistan (PML) mendahului, sekali gus memenangi pilihan raya umum negara itu.

Bagaimanapun, ketika ini rakyat Pakistan masih menanti keputusan rasmi penuh pilihan raya negara itu yang belum muktamadkan.