JOHOR BAHRU: Dua remaja lelaki antara tiga ditahan semalam, dipercayai bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di bandar raya ini pada 12 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata remaja berusia 15 dan 17 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki berusia 18 tahun, di Pontian, kira-kira 5.40 petang.

Ketiga-tiga individu terbabit kini direman empat hari bermula hari ini selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid, katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Raub dipetik sebagai berkata seorang lelaki warga China berstatus penduduk tetap di Singapura cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta pada 12 Dis lepas, di sini.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan selamat.

Raub berkata suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 41 yang dipercayai rakan kongsi kepada warga China itu, berjaya ditahan di hadapan Balai Polis Taman Pelangi, 8 malam hari yang sama.

Beliau berkata lelaki berkenaan yang merancang mahu melakukan pemerasan wang sebanyak RM300,000 daripada mangsa, bagaimanapun telah dituduh pada Selasa lepas.

Sebelum ini, tular sebuah laporan portal mengenai kejadian culik melibatkan seorang warga Singapura yang mendakwa cedera termasuk kehilangan gigi, ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada menjadi mangsa culik di daerah ini.

-- BERNAMA