ALOR GAJAH: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja mampat seberat 77.71 kilogram (kg) bernilai RM194,275 menerusia dua serbuan berasingan Rabu lalu.

Serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam serbuan pertama Rabu lalu, dua suspek berusia 54 dan 60 tahun ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Kodiang pada jam 6.40 pagi.

Beliau berkata, tindakan mereka yang mencurigakan itu membongkar penemuan sejumlah ketulan daun kering mampat disyaki ganja selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Toyota Previa yang dinaiki suspek.

"Ganja itu ditemui di bahagian kerusi penumpang tengah dan but kereta.

"Berikutan itu, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan peniaga kedai makan itu ditahan manakala kesemua ganja itu dirampas dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Bilik Media IPK Kedah, hari ini.

Wan Hassan berkata, susulan daripada itu, pihaknya melakukan pemeriksaan pada sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton yang diparkir di bahu jalan selepas stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta itu menemui sebuah beg biru berisi dua ketulan dedaun kering mampat disyaki dadah jenis ganja yang dianggarkan berat 1,982 gram.

"Malah hasil siasatan lanjut di balai polis  terhadap kereta Toyota Previa yang dirampas dalam serbuan pertama pula mendapati kesemua ganja yang ditemui di bahagian belakang but kereta itu adalah sebanyak 26 ketulan daun kering mampat disyaki ganja seberat 25,496 gram.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian kerusi penumpang tengah kereta itu mendapati, ganja yang ditemui itu dianggarkan sebanyak 50 ketulan mampat daun kering dianggarkan berat 50,205 gram," katanya.

Wan Hassan berkata, susulan daripada penahanan dua suspek terbabit, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 39 tahun di lokasi berasingan di Kuala Lumpur iaitu di Bangsar dan Sri Hartamas pada hari sama.

Beliau berkata, kedua-duanya yang bekerja sebagai peniaga kedai makan dan penghantar surat itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes itu.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka mendapati mereka negatif dari dadah.

"Kesemua mereka bagaimanapun mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini," katanya.

Wan Hassan berkata, pihaknya turut merampas dua buah kenderaan iaitu sebuah Mitsubishi Pajero dan Toyota Altis, dua jam tangan berjenama, dua buah motosikal iaitu jenis Honda Wave serta Honda EX-5 Class, wang dalam akaun bernilai RM3,333 serta barangan kemas bernilai RM5,603.23.

Beliau berkata, keseluruhan barangan yang disita termasuk kenderaan yang dirampas bernilai RM104,387.

"Kita percaya dadah jenis ganja ini diperolehi dari negara jiran namun siasatan masih dilakukan dan sekiranya terlepas, ia mampu di digunakan oleh 300,000 penagih di negara ini.

"Kesemua mereka direman sehingga 18 Januari ini dan akan disambung untuk siasatan lanjut," katanya.

Wan Hassan berkata, susulan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti sama ada mereka terbabit dengan rangkaian lain atau sebaliknya.

Beliau berkata, kesemua mereka dipercayai kenalan dan pihaknya percaya dadah itu hendak dihantar ke Kuala Lumpur berdasarkan tangkapan dua suspek di Kuala Lumpur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua suspek yang ditahan dalam serbuan pertama.

"Kita percaya mereka bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.