Enakmen agama bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran kepada umat Islam) Enakmen 1988 perlu dikekalkan tanpa sebarang pindaan bagi memelihara keharmonian agama di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, beliau melihat enakmen yang telah diwujudkan pada tahun 1988 itu adalah enakmen yang seiring dengan perlembangaan negara iaitu meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

“Ianya harus dilihat sebagai satu perkara selain daripada seiring dan selaras daripada kehendak perlembagaan adalah untuk memelihara keharmonian masyarakat sebab kalau sekiranya sampai keadaan islam dilihat dihina dan sebagainya maka nanti akan timbul sensitivity dan juga kemarahan yang akhirnya mencetus pergaduhan dan sebagainya jadi dia tidak harus dilihat dalam bentuk emosi tetapi harus dilihat dalam bentuk untuk memelihara agama dan memelihara kerukunan terhadap semua masyarakat yang menjadi warganegara kita Malaysia,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 200 ibu tunggal di pejabat UMNO bahagian Jerai di sini pada Sabtu.

Beliau diminta mengulas lanjut laporan mengenai permintaan tiga Adun DAP di Selangor agar enakmen tersebut dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.

Cadangan tersebut dibuat ekoran tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Malah mereka turut menyifatkan tindakan JAIS itu sebagai kasar dan mahu Subseksyen 9 enakmen 1988 itu dikaji semula.

Menurut Jamil Khir, bagi mengelakkan ketegangan terus berlaku pihaknya mahu rakyat berbilang kaum di negara ini bertenang dan mengelakkan daripada memberi sebarang kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat.

Selain itu, katanya lagi semua pihak juga harus menghormati keputusan mahkamah berhubung larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Kita sedia maklum kes ini telah dibawa ke mahkamah tinggi dan mahkamah tinggi telah membuat keputusan dan juga disambung ke mahkamah rayuan. Mahkamah rayuan juga telah membuat keputusan dimana sekarang ini kes yang sama iaitu kalimah allah telah dibawa kepada mahkamah persekutuan jadi saya merasakan kewajaran utnuk kita mematuhi mahkamah dan jugak melihat penghormatan kepada mahkamah kerana dia tidak lagi terlingkung dalam lingkungan kalimah allah dia sudah p ke pindaan enakmen dan sebagainya jadi keadaan akan semakin melebar dan juga ketegangan akan berlaku dan semakin menyebabkan suasana keluh kesah sebagainya,” katanya lagi.