GOMBAK: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, dijangka tiba di Malaysia Jumaat ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Menteri Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, jenazah Allahyarham berjaya dibawa turun menggunakan helikopter ke Base Camp, Everest hari ini. 

"Difahamkan pada jam 9.30 pagi waktu tempatan, jenazah telah berada di Base Camp 2 akan diturunkan menggunakan helikopter ke Base Camp pada hari ini juga.

"Insya-Allah selepas proses tertentu di hospital berkaitan di Kathmandu, kita akan menerbangkan jenazah tersebut ke Malaysia dan seterusnya dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Ramah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini pada Rabu.

Jenazah Awang Askandar dijangka tiba di Malaysia Jumaat ini


Tambah Armizan, jenazah dijangka tiba di Kota Kinabalu sebelum dibawa ke kampung halamannya di Papar.

"Untuk kita penuhi hasrat ahli keluarga beliau inginkan jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung sendiri.

"Insya-Allah Jumaat ini, jenazah akan sampai ke Kota Kinabalu dan kemungkinan hari sama atau selewatnya Sabtu pengebumian jenazah itu boleh dilakukan di Kampung Benoni, Papar," katanya lagi.

Mengulas mengenai isteri dan anak-anak Allahyarham, ujarnya pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah membawa mereka pulang ke Sabah.

"Untuk pengetahuan ahli keluarga beliau, isteri dan anak-anak beliau sebelum ini menetap di Kedah dan semalam APM dan pelbagai pihak telah membantu membawa balik keluarga beliau ke Sabah untuk menantikan ketibaan jenazah," ujarnya lagi.

Allahyarham Awang Askandar yang juga Pengarah Pertahanan Awam (APM) Kedah meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas berdepan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Ketika itu, Allahyarham hanya memerlukan kira-kira 20 minit lagi untuk sampai ke puncak Everest.