Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perbelanjaan yang digunakan untuk majlis sambutan lawatan kerja dan rasmi beliau serta menteri-menteri Kabinet dikurangkan selaras dengan langkah berjimat cermat kerajaan.

Katanya, ini adalah kerana setiap lawatan kerjanya, adalah untuk bersama dengan rakyat, mendengar masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian bersama.

"Berdasarkan pemerhatian saya melalui lawatan-lawatan kerja yang saya lakukan baru-baru ini, saya dapat lihat masih ada perbelanjaan yang boleh kita kurang atau elakkan.

"Saya berterima kasih untuk segala persiapan menyambut kehadiran saya. Saya faham sekiranya ada protokol yang perlu diikuti, tetapi di mana boleh, kita kurangkan persiapan seperti karpet merah, hidangan istimewa dan sebagainya.

BACA: PM buat tinjauan ke Hospital Sungai Buloh

BACA: Penambahbaikan segera di Hospital Kajang akan dilakukan - Najib

BACA: Hospital Sungai Buloh terima empat mesin hemodialisis baharu

"Fokus utama kita adalah rakyat, bukan protokol," katanya dalam entri terbaru dalam blognya NajibRazak.com.

Najib menambah bahawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pertama bagi tahun 2016 pada 6 Januari lalu, beliau telah mengingatkan Kabinet dan kementerian-kementerian untuk membelanjakan peruntukan yang diberi secara berhemah.

"Alhamdulillah, saya nampak rakyat menerima baik pendekatan sebegini agar masalah mereka mendapat perhatian dan penyelesaian secepat mungkin," katanya lagi.