Gara-gara cemburu seorang lelaki mati dibunuh seseorang yang dipercayai kenalannya di Kampung Lalang, di sini, awal pagi Selasa.

Siasatan awal polis mendapati, lelaki berusia 28 tahun itu maut selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

“Selepas insiden itu, orang awam membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kampung Lalang untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia di sana.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis percaya punca lelaki itu dibunuh bermotifkan perasaan cemburu," kata Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa yang mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Polis berjaya mengesan suspek dan kini sedang giat melakukan usaha memburu lelaki tersebut.

“Maklumat awal kita terima, mangsa tidak mempunyai pekerjaan dan kita sudah kerahkan anggota untuk memburu suspek.

“Buat masa ini, butiran lain dalam kes ini tidak boleh didedahkan, namun semuanya dalam siasatan dan kita tumpukan untuk memberkas suspek."