PUTRAJAYA: Hampir 5,000 anggota perkhidmatan awam akan digerakkan bagi membantu misi pascabanjir di kawasan terjejas secara berperingkat dan mengikut penggiliran, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Beliau berkata, berdasarkan surat edaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini, pegawai yang terlibat dengan arahan mobilisasi dianggap menjalankan tugas rasmi.

Beliau berkata mobilisasi anggota perkhidmatan awam itu merupakan inisiatif serta tanggungjawab sosial penjawat awam bersama rakyat selari dengan semangat Keluarga Malaysia, dengan misi utamanya untuk membantu rakyat yang terkesan akibat bencana banjir.

"Inisiatif yang dilaksanakan ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat Pasukan Petugas Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir semalam memutuskan JPA menyelaras pembahagian kawasan terjejas banjir kepada kementerian serta menyelaras usaha mobilisasi pegawai perkhidmatan awam khususnya bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan.
BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI




Selaras dengan keputusan tersebut, Mohd Khairul Adib berkata kementerian akan menentukan dan mengarahkan pegawai di agensi masing-masing untuk membantu melaksanakan tugas-tugas pasca banjir berdasarkan kawasan yang telah ditetapkan.

"Arahan ini berkuat kuasa serta-merta. Ia juga dilaksana berdasarkan kawasan yang terjejas teruk bagi tempoh masa tertentu bertujuan meringankan kepayahan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir," katanya.

Mohd Khairul Adib berkata gerak kerja membantu mangsa banjir di lapangan telah pun dilaksanakan di peringkat kementerian, jabatan, agensi di beberapa kawasan yang terjejas sebelum ini dan ia masih diteruskan.

"Namun, usaha kali ini akan lebih memfokuskan kepada penumpuan yang lebih menyeluruh dan bersasar serta ia digerakkan oleh pejabat-pejabat daerah, bagi memastikan mereka yang terlibat dapat diberikan bantuan pasca banjir dari aspek bantuan pembersihan rumah," katanya.

-- BERNAMA